Sunday, March 8, 2009

PELBAGAI RAWATAN ALTERNATIF / KOMPLEMEN


Acupressure
Hampir sama dengan akupunktur, tetapi menggunakan jari bagi memberi kesan ke atas titik-titik tertentu badan untuk merawat penyakit-penyakit seperti stres, sakit kepala, senggugut, artritis dan sebagainya. .

Akupunktur [Acupuncture]
Dalam akupunktur, jarum-jarum halus digunakan ke atas permukaan tubuh untuk mempengaruhi fungsi fizikalnya. Jarum-jarum itu ditusuk pada titik-titik yang dikenalpasti untuk merangsang dan mengawal perjalanan tenaga vital dan mengembalikan keseimbangan tenaga. Selain melegakan sakit, akupunktur digunakan untuk memajukan kesihatan individu dan merawat penyakit-penyakit akut dan kronik

Aromaterapi [Aromatherapy]
Kaedah rawatan ini menggunakan "minyak pati" (essential oils) yang diambilguna dari tumbuh-tumbuhan. Aromaterapi merawat gangguan emosi seperti stres, kebimbangan, keresahan, termasuk juga beberapa penyakit lain. Minyaknya diurut masuk ke dalam kulit dalam bentuk minyak sapuan, dihidu atau dalam bentuk mandian. Aromaterapi juga kerapkali digunakan bersama terapi masaj, akupunktur, refleksologi, herbalisme, dan rawatan holistik yang lain.

Ayurveda
Ayurveda membawa makna "ilmu (veda) tentang hidup (ayur)". Ia diamalkan di India sejak lebih 5,000 tahun yang lampau. Mengikut tradisi ayurvedia, penyakit itu dianggap suatu keadaan ketidakseimbangan di antara sistem tubuh yang boleh dikesan menerusi prosedur diagnostik seperti memeriksa nadi dan memerhati lidah pesakit, Banyak herba dan mineral digunakan dalam rawatan ayurveda.

Feng Shui
Amalan kuno masyarakat China yang kini semakin popular di Barat dan Asia. Ia merujuk kepada amalan menyusunatur rumah atau persekitaran kerja untuk menggalakkan kesihatan dan kebahagiaan. Dalam hal ini, konsultan mungkin menyarankan suatu perubahan sekitar - berhubung dengan warna, penempatan perabot dan seumpamanya bagi merangsang kesihatan dan perjalanan chi atau tenaga hayat.

Herbalisme atau Perubatan Herba (Herbalism)
Dikenali juga sebagai phytoyherapy, perubatan herba merupakan amalan perubatan tradisional yang paling awal bertapak dalam sejarah manusia. Perubatan yang menggunakan tumbuh-tumbuhan dan ekstrak tumbuhan untuk merawat penyakit ini lumrah dalam masyarakat sedang membangun, tetapi masih diamalkan oleh sesetengah anggota masyarakat modern. Di Barat, penawar seperti black cohosh, echinacea, st john's wort dan garlic adalah antara penawar yang popular. Begitu juga dalam masyarakat Melayu, herba seperti daun kapal terbang, halia, hempedu bumi, kacip fatimah, tongkat ali dsbnya sangat dikenali. Hampir semua masyarakat mempunyai bahan herba tersendiri.

Hidroterapi [Hydrotherapy]
Ia merupakan aplikasi saintifik bahan air untuk tujuan rawatan. Adalah dikatakan air itu boleh digunakan pada suhu yang pelbagai dan dalam bentuk yang berbeza bagi tujuan memberi kesan terapeutik. Air juga banyak digunakan dalam perubatan Islam dengan membacakan ayat-ayat tertentu bagi menyampaikan kepada matlamat yang dikehendaki.

Hipnoterapi [Hypnotherapy]
Ia merupakan kaedah untuk melepasi pemikiran biasa ke alam bawah sedar di mana di sana terdapat kejadian, memori dan emosi yang terpendam yang terakam dalam sejarah hidup seseorang. Menerusi hipnosis, ia mungkin memudahkan perubahan terhadap tingkah laku, emosi dan sikap. Ia boleh digunakan untuk merawat sesetengah jenis fobia, stres dan membantu rawatan penyakit tertentu.

Homoeopathy
Perubatan homeopati merawat individu secara holistik juga. Tetapi berbeza dengan semua perubatan lain, ia menggunakan dos yang diperkecilkan dalam merawat pesakit. Maklumat lanjut boleh didapati dari laman web http://www.homeolibrary.com atau http://go.to/homeolibrary.

Iridologi [Iridology]
Ia bukan bentuk rawatan. Tetapi hanya satu sistem diagnosis yang dilihat menerusi iris organ mata. Kerapkali ilmu ini digunakan oleh pengamal perubatan alternatif bagi mendapat maklumat berhubung kedudukan kesihatan sistem tubuh pesakit. Maklumat lanjut, lihat artikel dari laman Malaysia Homeopathy Cyber Library.

1 comment: