Sunday, January 25, 2009

PERUBATAN TRADISIONAL



DEFINISI

Perubatan tradisional ialah sejenis perubatan pra-saintifik bagi sesuatu kaum. Perubatan ini berbeza daripada perubatan yang diamalkan di Barat. Perubatan jenis ini digunakan pada masa tertentu yang bertujuan untuk penjagaan kesihatan dan sesuai bagi sesuatu masyarakat tertentu.

Perubatan tradisional terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
a. a. Perubatan tradisional profesional.
b. b. Perubatan tradisional bukan profesional atau perubatan tempatan.

Perubatan tradisional profesional

Perubatan tradisional profesional telah terbukti beberapa tahun yang lampau dan penggunaannya telah diamalkan oleh pelbagai peringkat kumpulan dan masyarakat sehingga kini. Konsep-konsep asasnya telah diterima manusia sejagat. Diantara ubatan tersebut ialah:

a. Perubatan ayurveda diamalkan oleh masyarakat India

b.Perubatan ginseng dan akupuntur diamalkan oleh masyarakat Cina dan telah sedia dimaklumi
oleh orang-orang di Asia.

Perubatan tradisional bukan profesional.

Perubatan tradisional bukan profesional mempunyai berbagai-bagai ciri-ciri tertentu dan telah tersebar secara meluas tetapi konsep dan kepercayaannya terbatas bagi masyarakat kecil diperingkat tempatan.
Perubatan tradisional mempunyai berbagai-bagai cara mengamalkannya mengikut adat dan budaya sesuatu kaum. Perubatan jenis ini dikategorikan kepada 4 kumpulan iaitu:

1. 1. Tradisi mengikut kelahiran.
2. 2. Herba-herba sebagai ubatan.
3. 3. Teknik-teknik khas seperti tulang-tulang asas.
4. 4. Semangat dan agama sebagai penyembuh.

Perubatan tradisional bagi masyarakat orang asli

Dikalangan masyarakat orang asli mimpi sangat berperanan dalam keagamaan dan juga sistem perubatan tradisional. Melalui mimpi pengamal-pengamal perubatan tradisional (bomoh atau pawang) yang dikenali sebagai “hala” mendapat ilham tentang jampi, nyanyian, cara mengubat penyakit yang berkaitan dengan mahluk halus yang dikenali sebagai superhuman dan sebagainya.

Tumbuhan dan perubatan

Penggunaan tumbuhan di dalam sistem perubatan tradisi menunjukkan hubungan yang rapat antara manusia dan sekitarannya. Bagi masyarakat yang berhampiran hutan menggunakan tumbuhan hutan sebagai ubatan seperti daun mengkudu, daun geruda, daun ati-ati, pokok putat daun jambu dan sebagainya.Manalaka bagi masyarakat pantai mereka menggunakan tumbuhan pantai sebagai ubatan. Satu kajian kes yang dijalankan di Melaka oleh Halifah bt Yusof pada tahun 1988 mendapati tumbuhan pantai boleh merawat penyakit luaran, penyakit dalaman dan rawatan selepas bersalin.

Penyakit luaran
PENYAKIT UBATAN
Kudis Pognia pinata
Gatal-gatal Pognia pinata
Bobol @Puru tapak kaki Phyllanthus niruni
Bisul Stathytarpheta indica
Penyakit dalaman
PENYAKIT UBATAN
Sakit kepala Acanthus abracteatus
Ardisia littoralis
Catharanthus rosaus
Sakit perut Rhodomyrtus tomentosa
Lelah Carapa granatum
Sakit lutut Crinium asiaticum
Penyakit yang berkaitan dengan mahluk ghaib
Halau hantu Pandanus atrocarpus
Casuarina equisetifolia
Memulih semangat tanah Pluchea indica

Cara pengubatan penyakit ialah dengan merebus tumbuhan tersebut samaada sendirian atau sebagai salah satu campuran dalam ramuan mandian, minuman atau air cucian. Tumbuhan tersebut boleh juga diramas atau ditumbuk dan ditampalkan pada tempat yang sakit. Bahagian-bahagian tumbuhan yang biasa digunakan ialah akar, daun, batang dan buah. Terdapat berbagai jenis tumbuhan yang boleh merawat sejenis penyakit.

CONTOH: SAKIT KEPALA
Jenis tumbuhan yang boleh digunakan seperti
1. Acanthus ebracteatus atau daun Ardisia littoralis - digiling dan disapu di kepala
2. Bunga Catharantus roseus - diramas dan disapu pada kepala
3. Daun Justica gendarussa, daun kemuning , - diramas dan disapu pada kepala
daun durian belanda dan daun nona

Ada pula sejenis tumbuhan boleh mengubati berbagai jenis penyakit.

CONTOH: PES CAPRAE
Tumbuhan ini boleh mengubati sakit lutut, wanita lepas bersalin, bisa-bisa badan dan demam panas.

Pada kebiasaannya penggunaan ubatan ini disertai dengan bacaan shalawat dan ayat-ayat Al- Quran supaya mendapat keberkatan dan lebih mujarab.

Rawatan wanita bersalin
Kelebihan seorang wanita yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. ialah melahirkan anak. Semasa proses melahirkan banyak urat saraf yang halus terputus dan banyak tenaga telah hilang. Justru itu urutan adalah salah satu rawatan yang bertujuan memulihkan kembali sistem saraf yang terganggu dan melancarkan peredaran darah bagi mengembalikan tenaga yang telah hilang. Dalam urutan bagi ibu yang bersalin ialah menggunakan bedak panas yang dinamakan param yang mengandungi campuran cekur, jerangau, bonglai, halia bara, lempoyang, daun pulut-pulut, ubu karot, kunyit dan daun pegaga yang disapu di seluruh badan. Bedak panas ini berfungsi menghalang kemasukan angin ke dalam badan melalui liang-liang roma. Param ini dapat menghaluskan dan menegangkan kulit serta memutihkannya. Bagi wanita yang mengamalkan penggunaan param ini akan kelihatan berseri-seri selepas habis pantang. Pada biasanya urutan dilakukan dari bahagian kepala dan menurun hinggalah ke bahagian kaki kerana dipercayai bahagian panas bermula dari kepala. Urutan boleh dilakukan sebanyak tiga kali, lima kali atau tujuh kali mengikut kemahuan ibu yang bersalin. Selepas berurut ibu-ibu akan dipakaikan bengkung yang boleh membantu mengecilkan perut walaupun tidak seratus peratus seperti sediakala. Bengkung ini boleh mengembalikan perut sebanyak 90 % ke asalnya. Bengkung ini akan di pakai selama 44 hari kerana dengan menggunakan bengkung ini akan menjadikan gerak-geri lebih yakin dan selesa dan kedudukan rahim akan lebih tetap.
Di dalam mandian daun-daun sirih,daun nangka, daun serai dan daun halia akan dimasak dengan air untuk dijadikan herba mandian untuk mengelakkan sakit tulang dan badan akan sentiasa harum.
Amalan bertungku pula adalah satu cara rawatan untuk mengecutkan rahim dan disamping itu boleh mengurangkan lemak-lemak di bahagian perut. Bertungku adalah ubat yang paling berkesan pada bahagian rahim.

REMPAH RATUS
Rempah ratus ini berasal daripada campuran 44 jenis herba seperti akar kayu, daun-daun terpilih dan biji-bijian. Rempah ini mujarab untuk mengembalikan semula tenaga dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh badan. Bahan-bahannya seperti akar telunjuk langit , akar Siti Fatimah , tongkat Ali , akar tutup bumi , bunga pakma dan akar seringan. Daun-dan akar kayu ini dicari dan digali jauh ke dalam hutan. Setelah itu dijemur sehingga kering dan sedia untuk dijadikan ubat-ubatan. Ada yang menggunakannya dengan merebus lalu diminum , dijadikan serbuk atau dimasukkan dalam kapsul.
Memakan rempah ratus dalam bentu serbuk adalah lebih berkesan dan ianya akan lebih berkesan dengan mencampurkan sedikit madu dan telur ayam kampung. Akar kayu juga bagus untuk memanaskan badan. Selain makanan yang bertindak dari dalam terdapat juga senaman bagi ibu-ibu sama ada selepas bersalin atau sebagai amalan harian.
Senaman ringkas ini ialah apabila bangun tidur pagi duduk dan luruskan kaki bongkok badan dan cecahkan hujung jari tangan dengan hujung jari kaki . Kemudian bengkokkan kaki kiri dan tarik ke sebelah kanan dan pusingkan tubuh dan ulangi semula kaki yang sebelah kanan.
Mengamalkan jamu dari muda dan memakan ulam-ulaman juga akan menjadikan kita awet muda. Antara ulam-ulam yang popular ialah pucuk gajus , daum selom , buah putat , lempoyang dan kunyit hidup. Tetapi kunyit hidup tidak boleh diamalkan selalu kerana ianya boleh menpercepatkan monopous.

KHASIAT DAN KEGUNAAN
Jintan hitam
Selain sebagai bahan masakan jintan hitam juga mempunyai banyak khasiat. Jintan hitam lebih popular bagi masyarakat India. Dari segi perubatan jintan hitam telah digunakan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Hadis riwayat Bukhari, Muslim menceritakan Abu Hurairah r.a. berkata “ Tetaplah dengan Habbah Al Sawdah (jintan hitam) kerana sesungguhnya ia mengandungi ubat bagi segala penyakit kecuali Al-sam atau maut.
Antara khasiat jintan hitam ialah menguatkan tenaga , mengelakkan penyakit dan mengurangkan kolesterol dengan memakan tujuh biji jintan sebelum tidur dan tujuh biji selepas bangun tidur setiap hari.
Bagi penyakit kencing tidak lawas , haid tidak lancar ialah dengan menggoreng tanpa minyak dan dijadikan serbuk lalu diminum dengan air panas dan madu.
Bagi menguatkan tenaga batin ialah dengan memasak susu segar dan dicampurkan dengan jintan hitam dan madu dan diminum sebelum tidur.
Bagi ibu yang menyusukan anak jintan hitam boleh membanyakkan air susu dengan memakan tujuh biji sebelum tidur dan tujuh biji selepas bangun tidur.
Bagi menghilangkan demam selsema dan sakit tekak campurkan serbuk jintan dengan perahan limau nipis dan satu sudu besar madu.

Kunyit
Pokok kunyit boleh dikatakan pokok serba guna, setiap bahagiannya mempunyai peranan tersendiri. Daunnya membangkitkan aroma masakan begitu juga bunganya. Apalagi buahnya yang mempunyai seribu satu khasiat selain untuk penyedap masakan. Bagi masyarakat India, kunyit dijadikan bahan utama untuk rempah kari dan piccalilli (acar pedas). Di samping menjadi pewarna dan perasa di dalam masakan ia juga menjadi sebahagian perubatan tradisional.
Setiap masyarakat mempunyai kepercayaannya tersendiri mengenai khasiat kunyit dalam kehidupan seharian. Peranan kunyit dalam perubatan telah dikenal pasti sejak 3000 tahun lalu.
Bagi masyarakat Melayu kunyit juga dimunum sebagai jamu terutamanya ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah. Manakala masyarakat Cina percaya isi kunyit boleh melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Di dalam perubatan Thai kunyit digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung.
Dalam ilmu perubatan Hindu kunyit disyorkan sebagai pes untuk mengubati penyakit kulit, gatal-gatal dan depilatori. Di samping itu ia juga digunakan sebagai barangan kosmetik untuk mewarnakan kulit.
Terdapat penyelidikan yang membuktikan kunyit menguatkan pundi hempedu, menyekat pembekuan darah yang bahaya, mengurangkan toksin hati, membantu memetabolismakan lemak dan mempunyai kesan anti merangsang tindakan dan non steroidal.

Bawang putih
Bawang putih bukan sekadar penyedap masakan. Malahan ia berkhasiat untuk kesihatan manusia. Khasiatnya telahpun diketahui pada tahun 5000 sebelum Masihi berdasarkan tulisan-tulisan purba orang-orang Babylon, Greek, Roman dan Mesir.
Orang-orang Mesir purba percaya memakan bawang putih setiap hari untuk mendapatkan tenaga dan ketahanan badan. Pekerja yang membina piramid juga dikatakan banyak memakan bawang putih . Orang-orang Greek pula menggunakannya untuk memulihkan penyakit typhus dan dysentary iaitu penyakit berak darah serta mengelakkan jangkitan bakteria dan gangrene pada luka semasa perang.
Para saintis pula mendapati bahawa bawang putih mengandungi alliin, terbitan sejenis asid amino. Apabila ditumbuk atau dihancurkan bawang putih akan mengeluarkan sejenis enzim yang dipanggil allinase yang akan menukarkan alliin kepada allicin iaitu sejenis antibiotik yang mengandungi tindakan antibakteria yang bersamaan dengan 1 % penisilin. Oleh itu bawang putih sesuai digunakan untuk merawat luka-luka. Memakan bawang putih dengan kadar yang tetap akan memberi perubahan yang besar kepada pesakit jantung aterosklerotik. Ianya juga dikatakan boleh mengurangkan tekanan darah kerana metilalil trisulfat yang terdapat pada bawang putih berfungsi mengembangkan dinding pembuluh darah. Kajian juga menunjukkan bahawa bawang putih menipiskan platelet darah dengan menghalang pengumpulan darah. Oleh itu serangan jantung dapat dielakkan. Bawang putih juga agen anti kulat. Ia berkesan untuk merawat jangkitan kulat yang sering dihadapi oleh ahli-ahli sukan di bahagian kaki mereka (Candida albicans). Ianya juga berkesan mengelakkan jangkitan 20 % kulat lain.
Satu kajian di China menunjukkan bawang putih berkesan untuk menyembuhkan penyakit Cytococcol Meningitis, iaitu sejenis penyakit radang otak yang berbahaya.

Bawang putih jugan boleh menyembuhkan penyakit selsema dan demam selsema. Allicin yang bertindak menghalang tindakan bakteria di dalam saluran pernafasan. Dengan ini masalah hidung tersumbat dan influenza boleh diatasi. Bawang putih juga kaya dengan protein, vitamin A,C, tiamin dan galian-galian surih seperti tembaga, zink , kalsium,potassium, sulfur, germanium dan selenium.
Kegunaan bawang putih yang lain.
  Membuang angin
  Menambah dan mengawal selera makan
  Mengurangkan sakit gigi,gusi dan gigi yang longgar
  Merawat batuk dan batuk kering
  Merawat selesema
  Merawat sakit telinga
  Menghalau serangga
  Merawat bisul dengan menuamnya

Lempoyang
Lempoyang dan cekur banyak kegunaannya. Jika kedua-duanya ditumbuk dan dicampurkan dengan garam jantan ia boleh mengubati gastrik. Campuran antara lempoyang , cekur berserta daun, jerangau daun bonglai, daun pegaga, kayu angin, biji kani, kedawong dan ramuan adas sepuluh sari dan digiling lumat dan diminum airnya boleh membanyakkan air susu ibu yang baru melahirkan. Bagi mengubati keguguran pula campuran lempoyang dengan sedikit akar pinang dan akar kelapa yang belum mencecah bumi dikisar dan diminum airnya.

PETUA-PETUA ORANG TUA-TUA
Sebenarnya untuk kelihatan cantik tidak memerlukan perbelanjaan yang mahal. Sejak turun temurun banyak petua yang diamalkan oleh generasi terdahulu untuk cantik dan manis dipandang. Segala yang ada di sekeliling kita ada gunanya. Tumbuh-tumbuhan dan bahan asli banyak menafaatnya. Antara beberapa petua yang penting untuk kecantikan ialah:
1. 1. Menghilangkan jerawat
Tumbuk beberapa helai pucuk jambu batu hingga lumat. Tepek pada muka dan biarkan kering dan barulah dicuci dengan air yang bersih.
2. 2. Melebatkan kening
Sapu kedua-dua kening dengan batang pucuk paku yang subur dan masih belum kembang daunnya. Lakukan selama seminggu.
3. 3. Mulut berbau
Ramas beberapa helai daun sirih hingga hancur. Tapi airnya dan dijadikan kumuran setiap pagi dan malam.
4. Badan kurus ingin gempal
Minum segelas air masak tengah malam dan segelas lagi waktu subuh.
5. Menghilangkan bau ketiak
Makan putik limau kasturi pada waktu pagi, tengahari dan malam, amalkan selama 7 hari dan boleh dijadikan amalan harian.

PENUTUP
Perubatan tradisional adalah warisan turun-temurun yang kian kurang orang mengamalkannya. Perubatan ini tidak menunjukkan kesan tindakan secepat perubatan alopati tetapi mengamalkannya adalah untuk kesejahteraan jangka masa panjang. Perubatan ini terbukti keberkesanannya kerana generasi lama walaupun sudah tua dan mereka kebanyakannya mempunyai anak yang ramai tetapi mereka kelihatan masih gagah dan cergas berbanding generasi kini mempunyai seorang atau dua orang anak telah mengalami sakit pinggang, buah dada mengeleber , nampak tidak bermaya dan sebagainya. Ini disebabkan mereka yang terdahulu mengamalkan petua dan mengamalkan perubatan tradisional. Ini kerana sistem perubatan pada masa dahlu adalah berkurangan dengan itu mereka terpaksa menggunakan bahan semulajadi sebagai ubatan. Tetapi ternyata ianya memberi kesan yang memberangsangkan.
Walau apa pun cara perubatan semua itu dengan izin Allah S.W.T. Segala apa yang kita lakukan semuanya hendaklah yakin pada kuasa Allah kerana apa yang ada di mukabumi ini adalah dengan kehendakNya.

2 comments:

  1. layari:
    http://mascoteksuri.blogspot.com/search?q=mas+cotek

    khasiat mas cotek

    ReplyDelete
  2. Syabas DrHilmi! Anda berjaya mengumpul banyak maklumat tentang perubatan tradisional. Tahniah!
    Saya tertarik pada khasiat Lempoyang dan Cekur untuk gastrik. Saya pernah dengar waktu budak-buak dulu tentang bahan-bahan tu tapi tak tahu pula berguna untuk mengatasi gastrik. Saya nak syorkan, jika tak keberatan, supaya cuba memanfaatkannya. Sambil berbakti kepada mereka yang berpenyakit gastrik, DrHilmi boleh menghasilkan pendapat yang lumayan juga. Pengidap gastrik terlalu ramai, bukan saja di negara kita, malah di semua negara di dunia ini. Jika pasang niat yang betul, di akhirat juga dapat ganjaran yang terlalu lumayan. Insya Allah.
    Syor saya begini: dapatkan sukatan campuran bahan-bahan itu secara terperinci, kemudian kapsulkan. Saya yakin ramai penderita gastrik akan setuju menyertai program ini. Buat ujikaji terhadap mereka, misalnya sekitar 20 orang. Ambil maklumat tentang tahap penderitaan dan sejak bila mereka mengalami gastrik. Perhatikan keberkesanan ubat yang diberi untuk suatu tempoh masa tertentu, selama 3 ke 5 minggu misalnya. Juga perlu diketahui bilangan dan kekerapan menelannya setiap. Jika betul berkesan, DrHilmi akan kaya, insya Allah. Bila dah berjaya, berilah saya komisyen sikit ya - bergurau saja!
    Ini ada dua sumber untuk pembaca yang berminat tentang gastrik:-
    ⦁ cepat lapar senak perut tanda gastrik - http://sakitke.com/cepat-lapar-senak-perut-tanda-gastrik-punca-gastrik/
    ⦁ 5 penawar gastrik termujarab - http://perubatandrrasid.com/5-penawar-gastrik-termujarab/
    Semuga komen saya ini ada manfaatnya..

    ReplyDelete